Friday, December 2, 2011

Muqaddimah


Muqaddimah

Segala puji bagi Allah SWT, Rabb sekalian alam, yang mentadbir alam yang besar dan tersergam ini. Tiadalah yang layak diagung, disembah dan diletakkan pengharapan melainkan Dia yang Satu. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para keluarga dan sahabat baginda yang memperjuangkan keseluruhan kehidupan mereka untuk memberi maksud kepada tujuan insan hidup di dunia ini.

Indahnya sirah Nabi kita Muhammad saw, setiap kali membaca, mendengar sirah baginda, ia sangat jauh sekali daripada apa yang dipamerkan dan diwar-warkan media yang mempersembah kehidupan Muslim. Malah, dalam banyak hal, ia mungkin jauh sekali daripada praktis yang diamalkan oleh majoriti Muslim, bukan dari sudut struktur dan aspek luaran, tetapi dari sudut nilai dan inti kepada setiap perbuatan, perancangan dan kata-kata baginda. Di manakah ingin kita cari insan yang bernama Muhammad saw, insan yang berakhlak dengan khuluquhul Quran, tidak pernah menampar kanak-kanak, memuliakan sahabat, tidak pernah mengutamakan diri, tajam minda dan sangat mulia hati, tetapi juga paling banyak beristighfar kepada Allah Jalla Waala. Dia adalah insan yang terpilih daripada keluarga dan kabilah yang terpilih. Baginda adalah yang terbaik daripada kalangan yang paling baik.

Alhamdulillah, sudah terlalu lama tidak menulis, membuatkan hati terasa sangat rindu dan sayu apabila menulis ini, melihat jauhnya perjalanan, berlikunya kehidupan. Ketika menulis ini, merasa sedar bahawa dah tahun 6 perubatan rupanya diri ini. Juga telah 4 tahun 6 bulan berada di negara orang. Mungkin bukanlah terlalu lama, tetapi bukan juga masa yang singkat mengharungi kepelbagaian yang pada mulanya asing, namun akhirnya sedikit sebanyak dapat menyesuaikan diri. Selalu juga memikirkan, wahai diri, adakah engkau ini semakin maju ke hadapan atau makin hari makin mundur ke belakang. Persoalan ini amatlah penting, kalaulah ukuran adalah pencapaian lahiriah semata-mata, maka mungkin itu adalah percaturan dan perkiraan yang terlalu mudahdan dangkal. Namun maju dan mundur sangat berkait dengan hubungan dengan Allah SWT. Kesibukan dalam urusan kehidupan tanpa peningkatan dzatiyyah serta peningkatan ilmu berkait soal mengenal Allah dan melaksanakan tuntutan ilmu itu sendiri mampu sahaja menghanyutkan diri dalam arus dunia ini.

Islam dan Cabaran Perubatan “Barat”

Teringat penulis tentang cerita yang diungkapkan dalam sebuah talk mencuplik kisah dalam sebuah novel bertajuk Al-Chemist, karangan Paul Coelho. Kadangkala, untuk memahami Islam di dalam sesebuah tempat asing adalah untuk memahami konteks tempat itu dan kembali semula kepada negara asal dan kemudian kembali semula ke tempat tersebut. Sangat ajaib dan benar, penulis buku ini menceritakan seorang yang datang ke negara Spain dan kemudian merasakan dia menjumpai Islam tetapi dalam konteks dan perspektif yang berbeza. Maka, kembali semula pengembara ini ke Mesir, untuk memahami makna Islam dan kefahaman Islam dan dia kembali ke Spain dan dapat menyesuaikan Islam dalam konteks negara Spain. Begitulah juga apa yang dilihat di dalam sirah Muhammad saw. Islam tidak hadir untuk memadam sejarah dan usul keturunan manusia. Juga ia tidak hadir untuk menyempitkan dinamik kehidupan manusia dengan kepelbagaian bangsa, bahasa, cara hidup dan budaya, malahan Quran menekankan aspek lita'arafuu – supaya kamu saling kenal -mengenal. Rupanya di dalam kepelbagaian kehidupan ini, terdapat rahsia untuk insan faham dan kenal, dan menggunakan wahyu dan ad-deen untuk membangunkan nilai-nilai hidup dalam konteks budaya sesuatu masyarakat yang tidak menyanggahi “ universal call and values” yang digariskan oleh Allah SWT.

Perkara yang bersifat generik ini sangat berkait dengan diri sendiri tetapi juga kesemua para pembaca yang bergaul, berinteraksi dan terlibat langsung dalam kehidupan di negara Barat. Masyarakat barat pada hari ini adalah masyarakat yang sedang menelusuri arus pasca-modenisasi. Asas pada tindakan berkait dengan soal fakta dan ilmu, dan beralih kepada persoalan hak insan dan kemahuan insan. Tiada siapa boleh mengatakan kehendak dan kemahuan seseorang itu adalah salah dan model sistem Barat menampung kemahuan seseorang atau sesebuah kumpulan. Contoh yang paling mudah adalah isu homoseksualiti, ibu tumpang, dan kebebasan mutlak seseorang. Sebagai seorang Muslim dengan asas kehidupan yang sangat berbeza, menelusuri sistem pembelajaran berpaksikan nilai humanisasi tentu sekali sesuatu yang menimbulkan keserabutan pada awalnya, penyesuaian pada pertengahannya dan kebiasaan pada akhirnya. Kita mungkin berakhir dengan bentuk pemikiran yang sama dan selari dengan aliran yang dicorakkan Barat. Perkara yang boleh kita katakan sebagai the clash of civilisation ini memerlukan penelitian yang dalam bagi kita sebagai Muslim supaya nilai agama itu terpancar dalam konteks kehidupan yang berbeza. Seringkali apabila perkataan Barat digunakan, maka konotasinya adalah negatif daripada aspek penglihatan seorang Muslim. Maka Islam dan Barat kelihatannya seperti berlawan arus. Persoalannya adalah adakah Islam dan Barat itu yang berlawan arus ataupun praktis manusia di negara majoriti Islam dan negara majoriti bukan Muslim itu yang berlawan arus. Tiada jalan dan tiada jambatan yang mampu menselarikan pertentangan dua magnet yang berlainan ini melainkan dengan cara bagi seorang Muslim untuk kembali mengkaji Islam dan memahami intipati Islam itu sendiri.

Pada hari ini, kita lihat Islam adalah agama yang paling pantas peningkatan jumlah penganutnya di negara barat. Sesuatu yang menghairankan, bagaimanakah ini berlaku sedang kedua-dua negara dengan daya magnet melawan arus ini seperti tidak mempunyai perkara yang boleh disepakati. Benarlah “al-hikmah dallatul muslim”, hikmah itu adalah barangan hilang kepunyaan Muslim, di mana sahaja dia menjumpainya dia paling berhak mendapatkannya. Jawapan kepada pertentangan ini adalah untuk kembali menilai bukan agama, tetapi kefahaman dan sifat kritikal dalam memahami Islam. Apa buktinya? Nabi saw menyatakan bahawa bagi setiap 100 tahun, akan ada mujaddid yang melakukan tajdid bagi agama ini. Tajdid dengan erti kata membaharui bukan agama tetapi tafsiran kepada agama agar tafsiran itu tulen seperti mana yang difahami Nabi saw dan para sahabat rahimahullah. Kita banyak menilai Barat salah. Ya memang salah, tetapi kesalahan itu mungkin sahaja datang dari kehilangan contoh daripada mereka yang digalaskan tanggungjawab “litakunu as-syuhada' alannas”. Kita kehilangan suara,kajian,akhlak dan pancaran Islam untuk kita katakan ini adalah jalan keluar dan ini adalah maksud yang membawa insan kepada kejayaan.

Apa kaitan ini semua dengan bidang perubatan? Sebagai seorang yang belajar perubatan, impak dan kesan perbezaan nilai Western Medical Ethics dan Islamic Ethics in Medicine sebenarnya bukanlah perbezaan yang besar. Ia adalah selari apabila ia memperkatakan persoalan “ human dignity” dan menegakkan keadilan bagi insan. Nilai “justice”, “truthfulness” dan nilai-nilai yang lain adalah nilai yang Islam. Cuma persoalan sejauh mana kita memberi nilai autonomi kepada seorang insan sangat berkait dengan nilai autonomi kita sebagai hamba kepada empunya autonomi ke atas kita. Ia juga adalah panggilan untuk melaksanakan nilai sejagat ini secara serius, bukan sekadar menulis dalam bentuk tulisan atau kertas peperiksaan, juga bukan sebagai omokan seorang pelajar perubatan apabila bosan memperkatakan tentang ethics. Ia adalah “means” dan “goals” untuk kita mencapai sifat professionalisme dalam memberi khidmat kepada manusia, dan ibadah dan ubudiyyah kepada Allah Jalla waala.

Moga Allah memberi kita kekuatan untuk meningkatkan kefahaman kita tentang islam dan interaksi dengan realiti dunia hari ini supaya perjalanan kita adalah syariah(something yang kita ceduk dari sumber asli (Quran dan Sunnah)  utk  kehidupan ini) bagi kita dalam konteks perjalanan di NZ dan negara barat yang lain.

Wallahu a'lam

Abu Asr
Curhat- Mengasah bakat untuk menulis dengan kekuatan pena hati
3/12/11 – Dunedin, NZ

2 comments:

  1. Salam
    Very interesting blog and posts so far! keep it up. Will always be behind you

    "Manusia ibarat logam"

    Salurkan bakat terpendam untuk Deen. InsyaAllah, semoga dipermudahkan segala urusan :)

    al mujtahidu@abukhadijah

    u know me ;)

    ReplyDelete
  2. wsalam wrh.

    jzk khayran abukhadijah:)

    ReplyDelete